2009年9月16日星期三

JETI KG AIR PUTIH MENUNGGU MASA UTK ROBOH


BERITA HARIAN (16/7)

ULU TIRAM: Mana silapnya. Perbelanjaan membina dan membaiki sudah melebihi RM100,000 tetapi jeti Kampung Air Putih yang terletak kira-kira 13 kilometer dari bandar masih tidak selamat digunakan, malah menunggu masa untuk roboh.

Jeti berkenaan yang menjadi laluan utama penduduk dan nelayan sudah empat kali dibaik pulih dalam tempoh lima tahun lalu bagi memberi keselesaan kepada pengguna terutama nelayan mendaratkan hasil tangkapan laut mereka untuk dipasarkan ke kawasan berdekatan.



Lebih malang lagi tiang sebuah pondok yang disediakan sebagai tempat orang awam menunggu di jeti berkenaan juga sudah patah sekali gus menunggu hari tumbang ke laut.

Jeti kayu yang menjadi penghubung dengan jeti konkrit berhadapan laut, juga sudah uzur dengan lantai dan penghadang patah, manakala penghalang jeti yang dibina sekitar pondok utama juga tidak selamat dan berbahaya kepada kanak-kanak.

Difahamkan, kali pertama jeti itu dibina lima tahun lalu menggunakan asas kayu dengan anggaran RM50,000 dan selepas setahun, peruntukan tambahan RM20,000 diberikan untuk kerja menaik taraf jeti berkenaan.






Pada 2007, peruntukan RM50,000 untuk membina jeti berasaskan konkrit di kawasan sama, dan kali terakhir tahun lalu peruntukan tambahan RM25,000 bagi pembinaan pondok tambahan.

Peruntukan itu dikeluarkan Pejabat Daerah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, Datuk Maulizan Bujang yang juga pernah membuat tinjauan ketika jeti berkenaan dibaik pulih akhir tahun lalu.

Bagaimanapun, kini disebabkan keadaan jeti itu yang sebahagian binaannya sudah roboh sejak tahun lalu, nelayan di situ terpaksa berpindah ke jeti kawasan Nam Heng untuk mendaratkan hasil laut mereka.

Sehubungan itu, lebih 35 keluarga penduduk kampung dan lebih 20 nelayan yang berpangkalan di jeti berkenaan mahu supaya jeti itu dibina semula kerana struktur sedia ada berbahaya dan tidak selamat digunakan.

Nelayan, Abdul Aziz Tambi, 41, menganggap projek jeti itu merugikan kerana selepas siap, ia hanya boleh digunakan tidak sampai setahun, malah nelayan tidak berani menggunakan jeti itu hingga sekarang.

"Saya dapati ada yang tak kena dengan projek ini, kerana sudah empat kali dibina tetapi jeti masih tidak boleh digunakan dengan selamat. Sepatutnya jeti ini sudah menjadi antara jeti paling baik di kawasan ini.

"Apa yang dikesalkan, dua lagi jeti yang dinaik taraf dan dibina serentak seperti di Nam Heng dan Kampung Tengah kukuh berdiri. Bagaimanapun, jeti di kampung kami ini tunggu masa hendak roboh, " katanya.

Penduduk Zulkifli Abdul Rahman, 41, berkata sejak jeti itu tidak selamat digunakan pada akhir tahun lalu, nelayan takut untuk menggunakan kemudahan itu dan berpindah ke jeti Nam Heng.

"Kami tidak mahu sampai jeti itu runtuh baru mahu ambil tindakan, dan jangan sampai ada orang yang mati barulah jeti itu hendak dibuat dengan sempurna, " katanya.

Beliau difahamkan sudah ada cadangan untuk membina sebuah lagi jeti baru berhampiran jeti itu dengan kos RM120,000 tetapi baginya jeti baru tidak perlu, sebaliknya jeti sedia ada dibaik pulih supaya menjimatkan kos.

没有评论: